Translate

PENGENALAN LATIHAN INDUSTRI


           Latihan industri merupakan salah satu elemen penting bagi para pelajar diploma
semester akhir di Politeknik Balik Pulau, iaitu para pelajar akan menjalani latihan industri selama satu semester iaitu dalam masa dua puluh (20) minggu di firma atau organisasi yang telah dipilih. Sepanjang tempoh tersebut para pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman dan kemahiran daripada pelbagai bentuk kerja yang dilakukan. Para pelajar juga dapat mengaplikasikan segala teori yang telah dipelajari kepada bentuk praktikal. Semasa menjalani latihan industri, para pelajar perlu mematuhi setiap peraturan, disiplin, etika, kehadiran dan skop kerja yang telah ditetapkan oleh firma atau organisasi tersebut.
 
                 Selain itu, latihan industri merupakan pendedahan awal yang diberikan kepada pelajar sebelum para pelajar menempuhi dunia pekerjaan yang sebenar selepas tamat pengajian kelak. Perkara ini dapat melatih para pelajar berhadapan dengan situasi sebenar pekerjaan, bagi memastikan ilmu yang diperolehi itu dapat dipraktikkan dan dimanfaatkan. Ia juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi di samping dapat menyemai semangat kerja dengan produktif dan perhubungan yang baik sesama pekerja.

              Seterusnya, para pelajar juga dikehendaki untuk menulis jurnal harian. Jurnal harian ialah laporan mengenai aktiviti harian sepanjang menjalani latihan industri. Bagi memastikan pelajar menulis jurnal harian, mereka hendaklah menghantar jurnal tersebut kepada penyelia di firma atau organisasi masing-masing untuk disemak dan ditandatangani sekurang-kurangnya seminggu sekali.

           Di samping itu, para pelajar akan dipantau oleh pensyarah pemantau pada tarikh yang ditetapkan sepanjang latihan industri untuk mengetahui perkembangan para pelajar sepanjang menjalani latihan industri ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blinking Cute Box Cat